2010/11/26

Ideologi Moden & Kesan Terhadap Islam - Bahagian 2

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Assalamualaikum

3- LIBERALISME (اللبرالية)

Falsafah ini muncul di Eropah pada permulaan kurun ke-19. Tiada satu definisi yang disepakati terhadap istilah ini. Kefahamannya berlainan antara satu tempat dengan yang lain, antara seorang ahli falsafah dengan yang lain.

Fahaman ini mula-mula muncul di England, bermaksud menyeru kepada kebebasan individu dalam menjalani hak-hak mereka tanpa ada campurtangan negara. Fahaman ini menekankan aspek persamaan taraf & kebebasan.

Ia memusuhi agama yang dianggap menyekat kebebasan manusia. Liberisme biasanya dikaitkan dengan slogan ‘Pembangunan & Kemajuan’. Berakar umbikan fahaman inilah munculnya kapitalisme yang terpengaruh dengan pendapata Adam Smith, yang memberikan kebebasan berniaga & berlumba dalam pasaran.

Liberalisme muncul kesan daripada kekejaman gereja & kediktatoran pemerintah pada waktu itu yang membawa kepada pemberontakan rakyat menuntut hak-hak mereka.

4- KAPITALISME

Sistem ekonomi lahir ekoran daripada fahaman sekularisme, individualisme & liberalisme. Pengasasnya ialah Adam Smith (1723-1790) yang mengarang buku bertajuk ‘An Inquiry into the Nature and Causes of the Wealth of Nations’.

Buku beliau dikira pencetus kapitalisme sebagai sebuah sistem ekonomi.

Antara ciri-ciri kapitalisme :
i- Kebebasan ekonomi
ii- Kebebasan individu memiliki harta; dibahagikan kepada 2 peringkat:
• Pemilikan mutlak tanpa sebarang had (peringkat permulaan munculnya kapitalisme)
• Pemilikan tidak mutlak, dihadkan sebahagian milik individu sebagai kepentingan sosial. (Peringkat inilah yang berleluasa di negara-negara kapitalis ketika ini)
iii- Sistem faedah atau riba’

Antara kegagalan sistem ini :
i- Pengangguran
ii- Inflasi
iii- Ihtikar
iv- Sifat individualisme yang menghancurkan hubungan dalam masyarakat
v- Kebebasan perniagaan yang tiada had meliputi anasir-anasir yang memudaratkan seperti dadah, arak & seumpamanya.

5- SOSIALISME & KOMUNISME

Sosialisme adalam sistem ekonomi yang dihasilkan oleh pemikiran komunis. Karl Marx dianggap pengasas kepada sistem ini. Sosialisme adalah marhalah pelaksanaan ekonomi yang akan membawa akhirnya kepada komunisme. Perbezaan antara kedua-duanya boleh dilihat dalam slogan ini :

Sosialisme -

من كل حسب طاقته, و لكل حسب عمله

Daripada setiap individu mengikut kekuatan & tenaganya (penentu kerja) dan bagi setiap individu mengikut kerja yang dilakukan (upah).
 
Komunisme –
 
من كل حسب طاقته, و لكل حسب حاجته

Daripada setiap individu mengikut kekuatan dan tenaganya dan bagi setiap individu mengikut keperluannya.

Ciri utama sistem ini adalah menghapuskan hak milik harta individu. Namun penghapusan ini tidaklah secara total seperti mana yang dilaungkan. Negara memiliki komponen-komponen pengeluaran & rakyat berhak memiliki barang keperluan.

Kegagalan sistem sosialis tidak dapat dinafikan lagi. Fenomena ekonomi & kemunduran yang wujud di negara-negara sosialis dan kejatuhan Soviet Union menjadi sejelas-jelas bukti kegagalan sistem ini.

SLOGAN-SLOGAN BERACUN

Dalam usaha Barat memastikan kejayaan mereka meracuni pemikiran umat Islam, pelbagai slogan yang mengaburkan mata dilaungkan di samping ideologi-ideologi perosak yang lain. Melalui tangan-tangan penjajah, zionis sedunia, orientalis & musuh-musuh Islam yang lain, mereka berjaya mengubah corak pemikiran umat Islam.

Slogan-slogan yang sering dipromosi sebagai slogan kemanusiaan adalah :

A) Kebebasan

Mencakupi segala-galanya; berfikir, beri’tikad, bersosial, bersuara dan sebagainya. Kebebasan yang tidak dihadkan dengan Ubudiyyah kepada Allah SWT.

B) Persamaan taraf dalam segalanya sehingga wanita pun menuntut persamaan taraf dengan lelaki

C) Kemajuan & kemunduran


Pengukur kemajuan & kemunduran berdasarkan material semata. Barat & tamadunnya digambarkan sebagai simbol kemajuan. Islam & tamadunnya pula dicop sebagai mundur & kolot.

D) Semangat perkauman (nasionalisme)

Dengan tujuan memecah-belahkan umat manusia & memadamkan kekuatan Islam yang mampu menyatukan bangsa yang berbilang-bilang

E) Kebebasan wanita

Tuntutan wanita akan hak-hak kebebasan mereka dalam kehidupan tanpa hudud atau sempadan yang menyekat kebebasan mutlak wanita. Tujuan jahat mereka ini bertitik tolak daripada pengetahuan bahawa jalan paling dekat untuk merosakkan sesebuah masyarakat adalah dengan merosakkan terlebih dahulu wanitanya.

Ideologi yang bertumbuh di Barat seperti cendawan merebak ke negara-negara umat Islam. Negara-negara yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup meliputi bidang-bidang sosial, politik, ekonomi dan sebagainya.

Persoalan timbul; adakah ideologi-ideologi tersebut sesuai untuk menggantikan Islam sebagaimana Kristian digantikan di Barat?

Sudah tentulah jawapannya tidak, kerana Islam Deen yang syumul merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Tidak boleh disamakan sama sekali dengan keadaan yang wujud di dunia Barat. Perbezaan tersebut ternyata sekali :

(1) Kristian menerima pemisahan antara perkara-perkara ibadah dan ketuhanan dengan perkara-perkara pemerintahan & negara. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh injil kata-kata Nabi Isa AS

دع ما لقيصر لفيصر , و ما للٌة للُة

(2) Di dalam kristian tiada manhaj kehidupan yang sempurna berbanding Islam yang mencakupi segala penjuru kehidupan
(3) Tiada dalam Islam kuasa mutlak ketua agama, sebagaimana Pope dalam Kristian
(4) Sejarah Kristian berlainan daripada sejarah Islam. Zaman Kristian memerintah di Eropah (kurun 11-16) dikenali sebagai Zaman Kegelapan. Sementara Islam ketika menerajui kepimpinan dunia mencipta keagungan tamadun yang tiada tolok bandingnya dalam sejarah manusia.
Faktor-faktor Ideologi dianuti dalam dunia Islam :

i) Umat Islam meninggalkan ajaran Islam yang syumul
ii) Kejahilan tentang Islam
iii) Tersebarnya ideologi-ideologi tanpa disedari
iv) Usaha sungguh musuh-musuh Islam
v) Kagum dengan Tamadun Material Barat

Senario pertembungan antara Islam & musuh-musuhnya tidak pernah berakhir. Sejak kebangkitan Rasulullah SAW membawa risalah Islam sehingga hari ini, Islam sentiasa dicabar & tercabar. Musuh sentiasa memerhatikan gerak geri umat Islam dan tidak henti-henti mencari peluang untuk merosakkan Islam.

Umat Islam mestilah bersedia menghadapi cabaran ini sekiranya mahu melihat Islam kembali menerangi dunia yang sekian lama diliputi awan mendung.

Wallahua'lam

Sumber : Seorang sahabat

20 Zulhijjah 1431H
26 November 2010M

No comments:

Post a Comment

Copyright © 1431 zizaur® . All rights reserved
There was an error in this gadget

PAUTAN