2010/03/31

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Assalamualaikum

Firman Allah SWT yang bermaksud: 'Dan Allah telah menciptakan kamu, kemudian mewafatkanmu, di antara kamu ada yang dikembalikan kepada usia yang tua renta(pikun), sehingga dia tidak mengetahui lagi sesuatu yang pernah diketahuinya.Sunguh, Allah Maha Mengetahui, Mahakuasa. (16:70)

     10 Mac 2010 yang lalu dunia telah dikejutkan dengan kehilangan seorang ulama' yang disegani oleh seluruh lapisan masyarakat seantero dunia.Beliau adalah Sheikh Mohamed Syed Tantawi, Sheikul Al-Azhar As-Syarif.Sheikh telah menghembuskan nafas terakhir semasa berada di lapangan terbang di Arab Saudi akibat daripada serangan sakit jantung.Sheikh telah banyak menyumbang idea serta pandangan semasa hayat sheikh, semoga sumbangan yang telah diberikan oleh sheikh akan mendapat ganjaran sebaiknya daripada Allah SWT dan semoga roh sheikh ditempatkan dikalangan para anbiya' serta orang-orang yang soleh.Amin
-Al-fatihah-
    
     Manakala, pada 19 Mac 2010, Presiden Mesir, Muhammad Husni Mubarak telah mengumumkan perlantikan Doktor Ahmad Muhammad Ahmad Tayyib, Presiden Universiti Al-Azhar sebagai Sheikh Al-Azhar As-Syarif yang baru berikutan kembalinya Sheikh Tantawi ke rahmatullah.Tahniah diucapkan atas perlantikan.Semoga dengan perlantikan itu, kegemilangan Universiti Al-Azhar As-Syarif sebagai salah sebuah institusi pengajian yang tertua di dunia dapat diteruskan serta Sheikh dapat menyumbang idea dan pandangan dalam menyatukan seluruh umat Islam di seluruh dunia.Mari bersama kenali Sheikh secara ringkas.
15 Rabi'ul Akhir 1431H
31 Mac 2010 M

Sumber:
1. Berita disini
2. Berita disini

2010/03/25

Mahasiswa Perlu Tegas

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Assalamualaikum

Firman Allah SWT yang bermaksud: ‘(yaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan'  (Ali-Imran:134)

            Mahasiswa hendaklah tegas dalam melakukan sesuatu tindakan terutamanya yang melibatkan kebajikan untuk semua rakan-rakan mahasiswa yang lain.Tegas dalam erti kata yang betul lagi benar bukan tegas dengan membawa unsur-unsur yang boleh disalah tafsir oleh masyarakat serta mahasiswa sendiri.
            Jika ada pihak yang melakukan kesalahan atau kesilapan, maka sebagai mahasiswa hendaklah sama-sama membetulkan keadaan dengan menyatakan pendirian yang tegas serta dengan cara teguran yang berhemah bahawa itu salah dan perlu dilakukan siasatan terlebih dahulu terhadap perkara yang berlaku, bukan dengan tindakan yang tegas tanpa usul periksa terlebih dahulu.
            Pihak yang berkenaan juga hendaklah menerima dengan jiwa serta hati yang terbuka untuk membetulkan kesilapan atau kesalahan yang ditegur oleh mahasiswa.Mahasiswa boleh bertindak sebagai penanda aras kepada pihak pengurusan universiti terutamanya dan kerajaan amnya.
           Kritikan mahasiswa yang tegas lagi lantang bukan bermakna mahasiswa berfikiran prokerajaan, propembangkang atau menyebelahi mana-mana pihak tetapi kerana mahasiswa mempunyai hak untuk menyatakan pendirian masing-masing dalam memastikan pihak pentadbiran universiti dan kerajaan bertindak adil dan saksama terhadap semua mahasiswa.
           
"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," Kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

            Beliau juga ada menyebut pihak pentadbiran universiti tidak perlu mengenakan peraturan yang ketat untuk mahasiswa menggunakan sudut pidato yang mula diwujudkan semula bermula pada pemilihan majlis perwakilan pelajar sesi 2009/2010 di institut pengajian tinggi awam yang lalu, selepas lebih 20 tahun sudut pidato dimansuhkan apabila pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 (AUKU) diperkenalkan berikutan ia disalahgunakan untuk berpolitik.
            Tetapi ini berlainan untuk mahasiswa Malaysia yang menuntut di universiti Mansurah, Mesir kerana berada nun jauh dari tanah air tercinta yang mana tidak ada sudut pidato. Mereka boleh mengkritik pihak persatuan dalam nada yang tegas dengan disertai hujah yang bernas dalam konteks membetulkan kesilapan serta memberi cadangan yang membina untuk kebaikan semua mahasiswa.Kritikan juga hendaklah disalurkan kepada yang berkenaan dan bukan hanya bercakap belakang.Apabila kritikan itu tidak sampai kepada yang berkenaan maka jadilah tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan sebagainya, aku betul kau salah, kau salah aku betul.Jadi apa kesudahannya, ada baiknya jika ada ketidakpuasan hati yang terbuku dihati sanubari dibawa berbincang dengan baik sebagai seorang mahasiswa yang berpendidikan tinggi dan berfikiran rasional.
           Kita semuakan mahasiswa Malaysia yang sayangkan perpaduan, jauh dari tanah air. Pepatah Melayu ada menyebut ‘bulat air kerana pembentung, bulat masyarakat kerana muafakat’.Marilah kita sama-sama berusaha mewujudkan biah solehah, tegur-menegur serta mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang bakal kita semua hadapi nanti.


klik gambar untuk paparan yang jelas (1280x800)

9 Rabi'ul Akhir 1431H
25 Mac 2010M

Sumber
1. Berita disini

2010/03/18

Bila Mulut Berbicara

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Assalamualaikum
Firman Allah SWT yang bermaksud: 'Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebagian kamu terhadap yang lain, nanti (pahala) segala amalmu bias terhapus sedangkan kamu tidak menyadari’ (49:2)

            Setiap perkataan yang dikeluarkan oleh mulut manusia sama ada perkataan baik atau buruk, semuanya akan dicatat oleh malaikat dan akan dibentangkan pada Hari Kiamat kelak dimana semua manusia akan diadili dengan seadil-adilnya.
            Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa, begitulah peribahasa Melayu berkenaan dengan mulut.
            Gunakan mulut kita dengan sebaik mungkin, banyakkan zikir dengan senantiasa menyebut Subhanallah,Alhamdulillah,Allahuakbar dan jauhkan daripada mengeluarkan kata-kata yang buruk, kesat dan tidak berfaedah.Elakkan daripada menyebar berita-berita atau khabar angin yang tidak benar sama sekali.Biarlah diri anda sahaja yang mengetahui daripada anda menyebarkan sesuatu yang anda tidak pasti akan kebenarannya.
            Ikutilah suruhan Nabi Muhammad SAW sebagaimana sabda Baginda:

            Dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah menyakiti tetangganya - baik dengan kata-kata atau perbuatan. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah memuliakan tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah berkata yang baik atau - kalau tidak dapat berkata baik - maka hendaklah berdiam saja - yakni jangan malahan berkata yang tidak baik." (Muttafaqun'alaih)

            Berbicaralah dengan hati yang tenang bukan berbicara dengan mengikut perasaan yang dipandu pula sifat marah yang membara.Turutilah apa yang telah diajar oleh Baginda SAW, berkatalah baik atau diam sahaja jika kata-kata yang bakal atau akan diluahkan boleh membawa kepada kebencian atau perpecahan.
Semasa anda dalam kenderaan, semasa berjalan kaki ke kuliah atau ke mana-mana tempat lazimi mulut anda dengan menyebut zikir mengingati Allah.Tidak rugi untuk kita sentiasa berzikir, bahkan akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah.

“Capailah tujuan sesuatu percakapan itu dengan diam dan capailah sesuatu keputusan itu dengan berfikir” – Imam As-Syafie

            Jadi saya mengajak diri saya serta sahabat-sahabat semua untuk sama-sama kita amalkan zikir pada setiap detik yang kita lalui serta tidak bercakap perkara-perkara yang tidak berfaedah.Jom kita ajak rakan-rakan terdekat kita supaya banyakkan berzikir.
Sayangi Perpaduan, Jauhi Perpecahan
 (klik gambar untuk paparan yang jelas)
(klik gambar untuk paparan yang jelas)
2 Rabi'ul Akhir 1431H
18 Mac 2010 M

2010/03/10

Semangat Kerjasama

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Assalamualaikum
Firman Allah SWT yang bermaksud:'Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu pasukan (musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) Allah banyak-banyak (berzikir dan berdoa') agar kamu beruntung' (8:45)

      Adakah anda telah memberi kerjasama pada hari ini?.
     Yer,kita hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya jika kita menerima arahan atau suruhan daripada pihak pimpinan, lebih-lebih lagi pemimpin yang telah kita pilih.Itupun kerjasama dalam membuat perkara kebaikan bukan dalam membuat perkara keburukan.
     Kita telah memilih mereka untuk menjadi pemimpin kita, maka kita hendaklah memberi kerjasama atas setiap perancangan yang bakal atau sedang dijalankan.
     Sekarang ini PERUBATAN Cawangan Mansurah sedang menganjurkan kempen Bi'ah Solehah yang bertemakan ' Cintai Rasulullah SAW, pemangkin Bi'ah Solehah'.Maka kita sebagai ahli hendaklah sama-sama mengerakkan serta menjayakan kempen itu, tanpa kerjasama daripada kita semua kempen Bi'ah Solehah tidak akan berjalan seperti yang telah dirancangkan.
     Cuba kita lihat pada diri kita, apa akan terjadi sekiranya jantung tidak memberi kerjasama kepada otak supaya mengepam darah sedangkan tubuh badan kita memerlukan darah, sudah tentu kita akan mati.Mata tidak memberi kerjasama untuk melihat semasa kita berjalan, sudah tentu kita akan terlanggar sesuatu.
     Begitu jugalah kita sebagai seorang hamba kepada yang Maha Melihat, kita hendaklah sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya atau dengan kata lain wajib menuruti segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.Setiap amal perbuatan kita akan dicatat dan akan dinilai suatu hari nanti.
     Akhir kata, tahniah buat pasukan Kelantan B kerana telah menjuarai kejohanan Futsal Piala Presiden 2010 yang telah berlangsung dengan jayanya pada 2 hingga 4 Mac yang lalu.Adakah mereka akan berjaya sekiranya mereka tidak memberi kerjasama sebagai sebuah pasukan?tentu sekali tidak.Anda setuju dengan saya?.Oleh itu, marilah kita sama-sama memberi kerjasama kepada pimpinan persatuan dalam apa jua program atau kempen yang bakal dijalankan nanti.Ayuh kita sama-sama menjayakan kempen Bi'ah Solehah bagi memastikan suasana kita di Mansurah sentiasa berada dalam rahmat Allah,InsyaAllah.
Klik gambar untuk paparan yang jelas (1024x750)
24 Rabi'ul Awal 1431H
10 Mac 2010M
Sumber:
1. Gambar disini
2. Berita Futsal disni

2010/03/03

Gagasan 1 Malaysia : Kesungguhan @ Retorik

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Assalamualaikum
Firman Allah SWT yang bermaksud:"Maka tetaplah engkau (Muhammad) (di jalan yang benar), sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas.Sungguh Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan" 11:112

      Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan itulah slogan yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, YAB Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak di bawah gagasan yang dinamakan 1 Malaysia.Selepas mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Malaysia daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi,Perdana Menteri yang ke-5 pada 3 April 2009,Dato' Sri Najib terus dengan agenda beliau dalam membina semangat satu Malaysia untuk semua bangsa dan kaum yang berada di Malaysia.
     Melayu, Cina dan India yang merupakan tiga bangsa yang terbesar di Malaysia serta bangsa lain bakal dikenali sebagai bangsa Malaysia, itulah antara agenda gagasan ini diwujudkan
     Jika dulu gagasan wawasan 2020 dibawa oleh perdana menteri ke-4 telah membawa Malaysia ke mata dunia sebagai sebuah negara kerdil yang cepat membangun jika dibandingkan dengan negara yang lebih awal mendapat kemerdekaan tetapi disitu juga Malaysia dikenali sebagai negara yang tidak mengamalkan konsep demokrasi dengan sepenuhnya.Pelbagai kepincangan telah berlaku antaranya kes pengundi hantu, kes mengatur pemilihan hakim, kes rasuah, kes menangkap individu tanpa bicara dibawah yang akta yang dikatakan zalim oleh ramai pihak serta kes pemecatan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan beliau dan banyak lagi kepincangan telah berlaku.
    Selepas itu diikuti pula gagasan Islam Hadhari yang dibawa oleh perdana menteri ke-5.Disini rakyat Malaysia begitu teruja dengan gagasan ini terutamanya kaum Melayu Islam.10 prinsip yang terkandung dalam gagasan itu dihebahkan disegenap pelusuk tanah air supaya rakyat menghayatinya sehingga Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam.Tetapi disitu timbul persoalan, adakah Islam yang ada sekarang tidak sempurna?sehingga tercipta gagasan Islam Hadhari.Disitu ramai ulama' telah membahaskan gagasan itu dengan panjang lebar sehingga ada yang mengatakan salah dan ada juga yang mengatakan itu betul.
    Sekarang gagasan 1 Malaysia pula cuba dibawa oleh perdana menteri ke-6, dalam memastikan semua kaum bersatu padu serta dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.Klinik 1 Malaysia, Amanah Saham 1 Malaysia, biasiswa 1 Malaysia dan banyak lagi yang satunya telah dicanangkan oleh kerajaan sekarang.Sejauh manakah kerajaan bersungguh dalam memastikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan itu berjalan dengan lancar dan bukan sekadar retorik semata-mata hanya akan diketahui keputusannya pada pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.
     Mahasiswa mahasiswi Mansurah amat bertuah kerana telah dikunjungi oleh wakil kerajaan Malaysia bagi menerangkan tentang konsep gagasan 1 Malaysia serta tentang isu-isu semasa di tanah air tercinta.Majlis tersebut juga diserikan dengan soal jawab antara tetamu dengan mahasiswa, berbagai persoalan telah diajukan antaranya isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan, isu gejala sosial yang semakin membarah,isu biasiswa 1 Malaysia dan sebagainya.
     Penulis mengharapkan pihak yang bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu-isu yang telah diutarakan oleh mahasiswa Mansurah.Sebagai seorang yang berwarganegara Malaysia amatlah mengharapkan Malaysia menjadi sebuah negara yang akan mengamalkan Islam dengan sepenuhnya.
Jadikan slogan 'Rakyat Didahulukan,Pencapaian Diutamakan' itu untuk semua rakyat bukan untuk sebahagian rakyat tertentu sahaja, dimana 13 buah negeri yang telah membentuk Persekutuan Malaysia.
 
(klik gambar untuk paparan yang jelas) 1280x800
17 Rabi'ul Awal 1430H
3 Mac 2010M
Copyright © 1431 zizaur® . All rights reserved
There was an error in this gadget

PAUTAN